Thursday, July 31, 2008

Teknologi Membawa Malaysia ke Arah Demokratik?

Media massa memainkan peranan yang penting dalam menyediakan ruang kepada kita untuk mendapat informasi, mengeluarkan pendapat, menukar pandangan, di samping memberi maklum balas kepada golongan yang memerintah.
Namun, di Malaysia, media pula telah digunakan utuk mempromosikan pembangunan, keharmonian, dan keselamatan negara. Hal ini demikian kerana media diletakkan di bawah kuasa golongan yang memerintah. Maka, media mengalami kesukaran untuk menjalankan fungsinya sebagai forth estet dengan check and balance yang berkesan. Oleh demikian, media tidak mampu untuk mengemukakan minat umum dan memaklumkan awam tentang keputusan yang membawa kesan kepada masyarakat. Kebebasan media di Malaysia telah disekat kerana perundangan, pemilikan media, serta self-sensorship oleh editor dan wartawan sendiri.
Selepas kegawatan ekonomi pada tahun 90-an, media di Malaysia telah mengalami perkembangan yang pesat. Perkembangan teknologi telah membuka peluang kepada rakyat untuk melibatkan diri dalam proses demokrasi negara. Pelaporan kes Anwar Ibrahim pada tahun 1999 oleh media telah mengecewakan ramai rakyat Malaysia dan hal ini telah menyedarkan mereka tentang hak untuk mengetahui apa yang sedang berlaku.
Ramai pengkritik Malaysia berhenti untuk membaca suratkhabar dan mencari alternatif untuk mendapat maklumat. Dengan teknologi yang semakin canggih, internet telah muncul sebagai sesuatu ruang untuk mengeluarkan dan menukarkan pendapat. Kemunculan internet telah menukar cara media baru berfungsi. Teknologi yang semakin canggih telah membuka laman baru dalam Malaysia. Kewujudan teknologi komunikasi maklumat telah membuka peluang kepada suara-suara pembantahan dalam masyarakat untuk mengemukakan sudut pandangan alternatif. Di Malaysia, idea-idea alternatif mengenai hubungan kaum, pembinaan negara, Islam dan demokrasi banyak didapati di laman-laman web dan portal berita internet. Fakta, malah juga dipersembahkan di dunia siber untuk menyokong sudut-sudut pandangan yang bertandingan antara satu sama lain. Era politik demokrasi dan kebebasan bersuara pada dunia siber hari ini telah menjadi medan kepada rakyat untuk menengahkan pandangan mengenai sesuatu isu bagi mempengaruhi orang lain yang seringkali dipaparkan secara selektif untuk menyokong satu sudut pandangan.
Akan tetapi kita masih terlalu awal untuk menyimpulkan bahawa kewujudan teknologi memulakan era demokrasi digital. Kita hanya dapat perkatakan perkembangan ini hanya meluaskan pandangan pemikiran rakyat atau rakyat mempunyai maklumat alternatif yang disediakan oleh golongan tertentu.
(Oleh : Siew Kah Mun & Pong Kok Shiong)

Wednesday, July 30, 2008

Teknologi Komunikasi dan Demokrasi : Antara mimpi dan Realiti

Kemajuan teknologi yang pesat khususnya dalam bidang komunikasi pada abad ke-21 seiringan dengan tahap kesedaran nilai demokrasi yang semakin tinggi dalam kalangan masyarakat global telah menjadikan isu teknologi komunikasi dan demokrasi sebagai topik perbincangan yang hangat diperkatakan pada masa ini. Ramai di antara kita mempunyai tanggapan positif terhadap senario perkembangan sedemikian dan berkeyakinan bahawa kecanggihan teknologi komunikasi sememangnya berupaya membawa manfaat kepada semua memandangkan teknologi-teknologi ini telah memperluas jaringan perhubungan sesama manusia dan menyediakan pentas kepada pelbagai lapisan masyarakat untuk melibatkan diri dalam perbincangan umum. Walau bagaimanapun, perlu diingatkan bahawa pandangan sebegini hanyalah cebisan hakikat yang tidak dapat menerangkan secara menyeluruh hubungan di antara teknologi komunikasi dengan demokrasi kerana peranan yang dimainkan oleh teknologi dalam perkembangan demokrasi bukan sahaja dinilai dari segi kepelbagaian jenis dan keleluasaan penggunaannya, tetepi turut mengambil kira pengaruh aspek politik, ekonomi serta sosial ke atasnya. Justeru itu, dalam usaha meneliti dengan lebih terperinci lagi jalinan perhubungan teknologi komunikasi dan demokrasi, persoalan-persoalan seperti apakah itu demokrasi dan apakah konteks yang berselindung di sebalik kemajuan teknologi komunikasi perlu dipertikaikan agar gambaran yang lebih jelas berupaya diperoleh dan inilah antara perbincangan yang bakal diserapkan ke dalam paparan blog seterusnya. Penulisan kami bukan sahaja menjurus ke arah usaha mengesahkan jalinan perhubungan sesama teknologi komunikasi dengan demokrasi, tetapi turut mempertikaikan peranan sebenar teknologi komunikasi ke atas pembangunan demokrasi.
Memang tidak dapat dinafikan bahawa kepesatan pembangunan teknologi komunikasi menerusi penciptaan peralatan media yang canggih telah menjadikan dunia ini semakin kecil dan dipenuhi dengan pentas-pentas perbincangan yang membolehkan warga dunia meluahkan perasaan dan merasakan diri mereka bebas daripada kongkongan politik nyata. Kemunculan televisyen dan radio misalnya,walaupun tidak berupaya menawarkan ruang kebebasan sebagaimana yang diperlihatkan melalui jaringan internet di samping menghadapi risiko penapisan yang tinggi, namun jangan dilupakan bahawa peranan mereka amat menyerlah pada zaman 60-an dan 70-an memandangkan kedua-dua media ini merupakan saluran informasi penting kepada masyarakat sebelum maklumbalas diperoleh. Menerusi cara inilah jalinan perhubungan di antara teknologi komunikasi dengan demokrasi mula dicerminkan kerana paparan informasi telah berjaya mendorong lapisan masyarakat untuk memikirkan isu-isu tertentu dan mencari saluran bagi meluahkan pendapat. Keadaan dikatakan bertambah baik lagi melalui kemunculan komputer dan internet yang lebih bebas di mana penapisan secara umumnya adalah minima dan pelantar pembahasan adalah lebih luas .Oleh itu,individu-individu yang berminat dengan perbincangan isu-isu kemasyarakatan dan peka dalam aspek berkenaan telah dibekalkan saluran untuk membentuk pelantar suara sendiri bagi meluahkan pendapat sepertimana yang terdapat dalam blog-blog ahli politik tempatan .Kebanyakan blog-blog atau jaringan web ini diperlihatkan oleh warga masyarakat sebagai tanda kematangan demokrasi negara akibat kemajuan teknologi memandangkan agenda-agenda eksklusif yang mempertikaikan keberkesanan kerajaan berjaya dipaparkan .Ini merupakan senario yang sepatutnya wujud dalam sesebuah negara bebas tetapi demokrasi tidak akan bermakna sekiranya warga masyarakat hanya menganggapnya sebagai alasan ataupun alat untuk mengamalkan maklumat-maklumat eksklusif sekadar untuk mencapai tujuan politik tanpa memikirkan tanggungjawab yang perlu dipikul.Demokrasi merupakan pegangan berprinsip yang menitikberatkan tanggungjawab,penggunaan teknologi komunikasi secara berleluasa tanpa pemahaman sebenar ke atas nilai demokrasi sememangnya merupakan satu kekosongan .
Jangan dilupakan juga bahawa ‘mimpi’ demokrasi sering kali dikorbankan semata-matanya untuk mencapai realiti politik, ekonomi dan sosial yang memihak kepada kepentingan golongan-golongan tertentu.Meskipun jaringan Internet telah diperluaskan penggunaannya ke seluruh dunia,namun tidak dapat dinafikan bahawa tahap pengaksesan dan cara penggunaan warga dunia ke atas jaringan ini adalah tidak sama serta tidak seimbang akibat kekangan politik oleh kerajaan-kerajaan tertentu .Negara-negara seperti Myanmar dan Korea Utara yang sehingga kini masih mengamalkan sistem tertutup sememangnya mempunyai kawalan yang kuat ke atas pemilik komputer dan saluran Internet sementara negara China pula banyak menjalankan usaha penapisan maklumat bagi menjaga imej parti pemerintah khususnya penapisan ke atas informasi-informasi peristiwa ‘Tian An Men’ . Bukti-bukti di atas telah menunjukkan bahawa kerajaan sesebuah negara masih lagi berkuasa dalam mengurangkan interaksi rakyat dengan Internet dan adalah tidak tepat untuk hanya menilai kematangan demokrasi global dari segi keleluasaan penggunaan teknologi komunikasi.Amerika Syarikat yang dianggap liberal dan bebas pada hakikatnya turut menjalankan pengintipan ke atas telefon dan e-mail rakyat selepas berlakunya peristiwa 911.Kesan tekanan ekonomi juga tidak kurang hebatnya dalam isu ini apabila syarikat-syirikat website gergasi yang seharusnya berusaha memikul tanggungjawab memantapkan nilai demokrasi telah mengubah cara beroperasi dan bekerjasama dengan kerajaan bebebrapa negara pada usaha penapisan maklumat semata-mata untuk menjaga pasaran sedia ada.Berkenaan dengan aspek sosial pula ,kekangan mental yang telah lama tersemai di dalam sanubari masyarakat sememangnya akan membantutkan perkembangan demokasi sesebuah negara disebabkan ketakutan yang dialami selama ini telah menjadi sebati dengan diri mereka dan ‘kebebasan’yang dijanjikan biasanya adalah tidak terjamin .Dengan ini,jelas ternyata bahawa keupayaan teknologi komunikasi dalam memantapkan nilai demokrasi tetap menjadi satu misteri yang tidak terjawab.
Secara kesimpulannya,kepesatan pembangunan dan keleluasan penggunaan teknologi dan komunikasi pada hari ini masih lagi tidak boleh dijadikan satu penanda kepada kematangan demokrasi sesebuah negara memandangkan kuasa-kuasa luaran masih berupaya untuk mempengaruhi tahap pengaksesan serta cara penggunaan warga setempat ke atas teknologi komunikasi .Jikalau pun tahap pengaksesan dan cara penggunaan teknologi komunikasi di negara tertentu adalah memuaskan ,namun adakah rakyatnya memahami erti sebenar demokrasi dan mempraktikkannya dengan cara yang betul?Persoalan-persoalan sedemikian akan terus dibincangkan dalam blog ini tetapi sebelum berhenti menulis untuk kali ini ,izinkan saya untuk mengemukakan pendapat bahawa sungguhpun teknologi komunikasi berupaya memainkan pelbagai peranan berbeza dalam aspek pembangunan demokrasi ,namun ia hanyalah watak sampingan yang tidak memberikan impak langsung selagi pegangan lapisan masyarakat terhadap nilai demokrasi masih kalah mengikut acuan sendiri seperti mana yang ditunjukkan oleh rakyat negara-negara Eropah Utara .Adakah saya betul ataupun salah,kita akan cuba menerokai kebenarannya sepanjang tempoh penulisan ini.
( Oleh : Chang Swee Liang )