Friday, September 12, 2008

Political Apathy : Mengapa anda tidak mahu mengambil tahu

Apakah yang anda faham tentang demokrasi? Sejauhmanakah anda sudi melakukan sesuatu bagi melibatkan diri anda dalam demokrasi? baca suratkhbar? dengar berita? adakah ini cukup bagi anda mendakwa bahawa diri seorang mahasiswa dan mahasiswi USM yang ambil berat ke atas isu-isu negara?
Atau kami hanya biarkan pihak media ,ahli-ahli politik menyuapkan kami tentang apakah yang perlu kami tahu, apa yang kami tak perlu tahu dan biarkan mereka buat keputusan yang penting bagi kami?
Persoalan di sini adalah sejauhmanakah anda mengambil berat terhadap isu-isu politik dan melibatkan diri anda dalam political movement? Mengapa anda tidak mahu ambil tahu?
Di sini terdapat beberapa soalan
1) Adakah anda ambil berat terhadap isu-isu politik
2) Sekiranya ya, apakah yang lakukan?
3) Sekiranya tidak mengapa anda tidak mahu ambil tahu?
4) Apakah yang menyebabkan anda mempunyai perasaan ini?

Sila menjawab soalan di atas ……

Good Night & Good Luck

Selamat bertemu kembali dalam lembaran kedua ini. Diharapkan anda semua masih ingat lagi tulisan pertama saya untuk blog ini selang beberapa minggu yang lalu dan kita akan meneruskan perbincangan dengan lebih mendalam serta terperinci buat kali ini. Perlu diingatkan bahawa tema penulisan saya tetap berlandaskan isu teknologi komunikasi dan demokrasi, tetapi tumpuan lebih cenderung ke arah mempertikaikan keperluan ataupun keberkesanan sebenar penggunaan teknologi komunikasi dalam usaha memantapkan kesedaran demokrasi sesebuah masyarakat.Dalam erti kata lain, saya tidak memperlihatkan keleluasaan penggunaan teknologi komunikasi seperti televisyen, telefon bimbit, komputer mahupun internet sebagai satu petunjuk kematangan demokrasi memandangkan demokrasi pada asasnya adalah nilai kesedaran dan kepercayaan rohani yang seharusnya lahir dari hati setiap individu secara jujur dan tulus ikhlas. Pada pendapat saya, demokrasi tidak akan bermakna jikalau ramai di antara kita yang merupakan pengguna teknologi komunikasi tidak memiliki pemahaman dan penyelamian sebenar ke atas nilai kesedaran ini serta mempraktikkannya menerusi nilai hidup yang positif, meskipun kemajuan bidang teknologi komunikasi telah membebaskan dunia daripada kongkongan sempadan nyata. Jangan lupa bahawa teknologi komunikasi tidak akan berjiwa demokrasi secara sendirinya dan nilai kebebasannya adalah tertakluk kepada individu yang mengoperasi mahupun menggunakannya secara rasional, saksama serta bertanggungjawab dengan berbekalkan nilai kesedaran yang tertanam di dalam sanubari.Untuk membuktikan pernyataan ini, marilah kita bersama-sama membincangkan filem “Good Night & Good Luck”.
Kepada para pelayar dan pembaca yang setia mengikuti perkembangan paparan blog ini, saya pasti anda sedia maklum bahawa ini merupakan kali kedua elemen filem dipilih sebagai topik penulisan.Walau bagaimanapun, perlu dinyatakan di sini terlebih dahulu bahawa filem perbincangan sebelum ini, iaitu “Enemy of The State” adalah berbeza daripada “Good Night & Good Luck” dari segi kandungan dan impak memandangkan keseluruhan jalan cerita serta mesej yang ingin disampaikan adalah berlainan di antara satu sama lain meskipun kedua-duanya memperlihatkan hubungkait sesama teknologi komunikasi dan demokrasi. Filem “Enemy of The State” jelas memaparkan watak utama sebagai mangsa kemajuan teknologi komunikasi apabila peralatan-peralatan moden yang canggih digunakan oleh pihak berkuasa bagi menyekat kebebasan individu tertentu semata-mata untuk mencapai kepentingan politik sendiri sementara “Good Night & Good Luck” pula mengisahkan kewibawaan seseorang wartawan televisyen dalam menentang ketidakadilan masyarakat di samping membawa nafas baru kepada arena berita televisyen agar teknologi komunikasi berupaya berfungsi memanfaatkan orang ramai.Oleh itu, isu teknologi komunikasi yang diperlihatkan menerusi kedua-dua filem ini adalah berlandaskan perspektif, situasi dan latar belakang yang berbeza mengikut corak penyampaian yang tersendiri.
Mengambil ilham daripada kisah sebenar dalam sejarah dunia televisyen Amerika Syarikat, filem “Good Night & Good Luck” arahan George Clooney, antara pelakon terbagus dan pengarah paling berbakat pada masa ini sememangnya telah berjaya menyedarkan kita semua agar memikir kembali nilai kebebasan media yang sedia ada di negara ini dan pada masa yang sama mencerminkan kepentingan etika serta prinsip perjuangan seseorang wartawan media dalam usaha merealisasikan impian sejagat. Sebagai anak kepada bekas pembaca berita di Cincinnati, George Clooney ternyata arif dengan medan pertempuran media dan peka dalam memaparkan realiti kerjaya wartawan televisyen menerusi skrin panggung wayang. Bukan setakat itu sahaja, kreativiti dan keupayaan beliau dalam mencipta gaya filem sendiri dengan menerapkan suntingan video lama ke dalam paparan filem sebenar dan menggunakan warna hitam putih sebagai latar belakang paparan keseluruhan filem turut memperlihatkan bakat pengarahan yang terpendam di dalam dirinya selama ini.Kesemua keistimewaan di atas secara tidak langsung telah membawa pulang anugerah dan pengiktirafan dalam dunia perfileman kepada George Clooney.
Filem “Good Night & Good Luck” secara umumnya merupakan sebuah filem yang mengimbas kembali kisah perjuangan sebenar salah seorang wartawan televisyen paling berwibawa di Amerika Syarikat.Ia berlaku sekitar 1950-an iaitu ketika berakhirnya Perang Dunia Ke-2 dan bermulanya Perang Dingin dengan ideologi timur dan barat masih lagi bercanggah sesama lain dan fahaman komunisme dianggap sebagai ancaman besar kepada Amerika Syarikat.Justeru itu, Senator Joseph McCarty dari Parti Republican telah menjalankan usaha pemburuan dan penyiasatan secara kolektif untuk membasmi para pengikut fahaman komunisme dalam negara bagi memastikan keselamatan negara terjamin. Walau bagaimanapun, usaha ini telah menimbulkan kebimbangan dan ketakutan dalam kalangan masyarakat setempat memandangkan
mana-mana individu boleh dijadikan sasaran siasatan tanpa sebarang sebab khususnya mereka yang berbangsa minoriti dan berstatus ekonomi rendah. Fenomena ini sudah tentu mendapat perhatian wartawan dan pengacara terkenal NBC, iaitu Edward R. Murrow dan beliau bersedia untuk mempertikaikannya menerusi rancangan “See It Now”.Konflik muncul apabila seorang tentera udara pelapis muda yang bernama Milo Radulovich tiba-tiba dilucutkan jawatan atas alasan ayahnya pernah membaca suratkhabar Serbia yang cenderung ke arah fahaman komunisme dan tentera muda ini langsung tidak diberikan peluang untuk membela diri. Edward R. Murrow dan rakan seperjuangan yang juga merupakan penerbit rancangan, Fred W Friendly membuat keputusan untuk menghasilkan laporan eksklusif mengenai isu ini kerana mereka merasakan bahawa institusi media adalah bertanggungjawab untuk memaparkan kebenaran kepada para penonton dan pada masa yang sama menyedarkan semua lapisan masyarakat tentang tindakan McCarthy yang melanggar hak asasi manusia. Dalam usaha untuk menyiarkan laporan eksklusif ini, Edward Murrow bersama-sama Fred Friendly dan pasukan seperjuangan terpaksa menghadapi pelbagai rintangan dan dugaan baik dari pihak pentadbir stesen televisyen, pihak berkuasa mahupun Senator McCarthy sendiri di mana pada suatu ketika Murrow perlu berdebat dan berbahas dengan McCarthy melalui kaca televisyen.Malah, salah seorang daripada rakan seperjuangan mereka telah membunuh diri kerana tidak tertahan dengan salah faham dan pandangan serong orang luar. Bagaimanapun, Murrow tidak pernah berputus asa dan tetap berpegang teguh kepada prinsip kerjaya sendiri bagi memperjuangkan kebebasan media yang menjadi kepercayaan selama ini.Perjuangan beliau ternyata berbaloi apabila Milo Radulovich telah dipulihkan jawatan sementara Senator Joseph McCarthy pula disiasat dan diambil tindakan atas penyalahgunaan kuasa.Meskipun matlamat perjuangan berjaya dicapai, namun Murrow dan Friendly tetap perlu menghadapi hukuman penurunan pangkat yang diperintahkan oleh pihak atasan stesen televisyen.Cerita tidak memberikan kemenangan nyata kepada mana-mana pihak tetapi jelas menonjolkan kewibawaan dan keberanian seorang wartawan idealis dalam mempertahankan pegangan nilai diri sendiri disertai persoalan-persoalan yang berupaya mendorong kita untuk memikir semula makna sebenar kebebasan dan demokrasi dalam kehidupan realiti.
Renung kembali usaha pemburuan dan rancangan penyiasatan Senator Joseph McCarthy secara membuta tuli ke atas suspek fahaman komunisme yang menjadi punca utama kepada konflik dalam filem, sekali lagi pergelutan di antara isu keselamatan nasional dengan isu kebebasan individu dipaparkan sebagai agenda perbincangan sepertimana yang diperlihatkan menerusi jalan cerita filem “Enemy of The State”.Pihak pemerintah yang memiliki kuasa pentadbiran di dalam sesebuah negara sering menjadikan isu keselamatan nasional dan kesejahteraan masyarakat sebagai alasan untuk menjalankan pemantauan dan penyekatan terhadap kebebasan rakyat bukan sahaja dari segi fizikal, tetapi juga mental dan ruangan kehidupan.Filem “Enemy of The State” dengan ketaranya telah memaparkan watak lelaki utama sebagai mangsa kawalan kerajaan secara fizikal menerusi ciptaan teknologi komunikasi yang canggih sehingga kehidupan biasa dilandai ketakutan dan kebimbangan yang tidak pernah dijangka selama ini semata-mata demi kepentingan keselamatan negara. Senario yang serupa turut dicerminkan melalui filem “Good Night & Good Luck” apabila individu-individu yang disyaki memiliki kecenderungan ke arah fahaman komunisme dituduh, disiasat, ditahan serta dilucutkan jawatan tanpa bukti yang kukuh dan langsung tidak diberikan peluang untuk membela diri hanya kerana mereka mungkin merupakan pengganas ataupun penceroboh yang akan memudaratkan negara. Adakah benar individu-individu seperti watak lelaki dalam “Enemy of The State” dan Milo Radulovich mempunyai keupayaan untuk memusnahkan kesejahteraan masyarakat dan perlukah mereka sebagai seorang manusia diseksa serta diabaikan hak menjalani kehidupan biasa disebabkan tuduhan-tuduhan yang tidak berasas dan tidak terbukti? Bukankah prinsip asas demokrasi telah menyatakan bahawa hak asasi manusia merupakan nilai terpenting yang perlu mendapat jaminan sepanjang masa dan mengapa pula Amerika Syarikat yang sering melaung-laungkan demokrasi masih lagi menjalankan pengintipan, penyekatan dan penyiasatan secara terlindung ke atas rakyat dengan alasan keselamatan negara perlu diutamakan? Adakah tujuan sebenar usaha-usaha sedemikian dijalankan hanya disebabkan kebimbangan ke atas keselamatan nasional ataupun ia sebenarnya lebih cenderung ke arah mempertahankan kepentingan politik pihak berkuasa? Persoalan-persoalan sedemikian secara tidak langusung telah membuka mata kita untuk melihat dengan lebih mendalam lagi senario demokrasi di negara ini yang mana pihak kerajaan sering menggunakan alasan kesejahteraan masyarakat dan ketenteraman negara untuk menyekat kebebasan bersuara lapisan sosial khususnya ke atas isu-isu politik, perkauman dan keagamaan dengan anggapan bahawa agenda-agenda ini adalah sensitif. Adakah benar isu-isu ini bersifat sensitif dan memiliki potensi untuk memusnahkan persefahaman kaum yang sudahpun lama terbina? Kita sering terpedaya dengan amaran ataupun ugutan pihak kerajaan bahawa perbincangan ke atas isu-isu ini akan menjejaskan kesejahteraan domestik tanpa menyedari bahawa ia pada hakikatnya merupakan salah satu muslihat golongan berkuasa untuk mengukuhkan lagi kedudukan sendiri dan mengelakkan kepentingan politik yang sedia ada daripada dicerobohi. Agenda-agenda yang dikatakan sensitif ini tidak semestinya menimbulkan konflik dan persengketaan dalam negara, sebaliknya berupaya menawarkan ruangan kepada semua lapisan masyarakat untuk meningkatkan pemahaman sesama lain dan seterusnya membentuk semangat perpaduan yang lebih kukuh seiringan dengan kesedaran sosial sejagat. Inilah kebimbangan sebenar kerajaan kerana nilai persefahaman yang lebih teguh sesama rakyat terhadap latar belakang dan nilai hidup mereka secara tidak langsung akan mengugat kekuatan politik sedia ada dan justeru itu sekatan dilaksanakan. Senator Joseph McCarthy pula pada masa yang sama menjadikan usaha pemburuan ke atas pengikut fahaman komunisme sebagai pentas utnuk menonjolkan kewibawaan dan kecenderungan politik sendiri.Menerusi kenyataan-kenyataan di atas, adalah jelas bahawa isu keselamatan negara telah dimanipulasikan oleh ahli-ahli politik dalam usaha mencapai matlamat politik sendiri dan bukannya demi kepentingan negara.
Kematangan demokrasi Amerika Syarikat sekitar 1950-an sekali lagi dilapisi pertikaian melalui paparan filem ini apabila industri media yang beroperasi dalam bentuk korporat dicerminkan sebagai entiti perniagaan yang gagal berperanan secara bebas dan masih dipengaruhi oleh kuasa-kuasa luaran.Ini jelas terbukti apabila usaha Edward Murrow dalam melaporkan kisah Milo Radoluvich telah ditentang dan dicabar bukan sahaja oleh pihak atasan, tetapi turut melibatkan pihak tentera, kerajaan dan penaja iklan atas alasan perundangan serta penglibatan mereka dalam pelaburan stesen televisyen berkenaan. Adalah amat mendukacitakan untuk mengetahui kewujudan fenomena ini tetapi ia merupakan realiti sebenar dalam dunia penyiaran sejak dahulu lagi dan masih berlanjutan sehingga kini. Saluran-saluran media khususnya stesen televisyen tidak lagi diperlihatkan sebagai pelantar yang berupaya memaparkan kebenaran dan menimbulkan kesedaran dalam kalangan masyarakat, tetapi lebih cenderung ke arah komersialisme yang bertujuan mengaut keuntungan di samping mengukuhkan kekuasaan pihak-pihak tetentu.Keadaan bertambah buruk lagi berikutan kemunculan syarikat-syarikat konglomerat dan transnasional yang berjaya memonopoli industri media antarabangsa dengan kebanyakan daripada rakan kongsi perniagaan mereka adalah terdiri daripada individu-individu mahupun korporat-korporat yang mendominasi kekuasaan politik dan ekonomi semasa.Hal ini telah membolehkan pihak-pihak berkuasa tersebut menggunakan ruang penyiaran yang sedia ada untuk menyekat informasi-informasi ataupun laporan-laporan berita yang bercanggah dengan kepentingan diri daripada tersebar luas.Dalam erti kata lain, media kini bukan lagi ruangan kebebasan yang menghimpunkan masyarakat untuk mengadakan perbincangan terbuka terhadap isu-isu awam, tetapi satu litupan kawalan yang bertujuan untuk menerapkan ideologi-ideologi tertentu dan pada masa yang sama memantapkan lagi kekuatan para pemilik.Jadi, ke mana perginya fungsi dan peranan saluran media khususnya televisyen dalam konteks filem ini sebagai “Estet Keempat” yang berupaya memantau penyelewengan barisan pemerintah? Ke mana pula prinsip-prinsip industri media yang menjanjikan keprihatinan terhadap golongan masyarakat bawahan dan pembekalan ruangan kebebasan perbincangan kepada semua lapisan masyarakat sepertimana yang dinyatakan dalam konsep “Sfera Awam” oleh Habermas? Mengapakah Edward Murrow sebagai seorang wartawan televisyen yang pentingkan nilai kemanusiaan perlu diugut dan dihukum atas laporan berita yang sah dan benar? Jawapan kepada kesemua persoalan ini secara tidak langsung telah membuktikan kebenaran pandangan sarjana-sarjana Frankfurt School seperti Adorno dan Hockheimer yang melihat kemunculan masyarakat massa sebagai bentuk penindasan ke atas rakyat yang berubah daripada entiti kenegaraan kepada para kapitalis.Malangnya, industri media kini bukan sahaja dikuasai oleh kumpulan-kumpulan perniagaan tertentu, tetapi turut menghadapi kawalan yang ketat daripada pihak pemerintah, justeru itu pekerja-pekerja media boleh dikatakan sebagai mangsa sekatan yang terperangkap dalam lingkupan politik dan ekonomi.
Dalam situasi di mana persekitaran industri media adalah dikawal oleh golongan-golongan tertentu menerusi kelebihan politik, ekonomi dan kuasa, nilai kepercayaan, keyakinan dan kesetiaan para pekerja media terhadap prinsip kebebasan media dan hak kesamarataan manusia merupakan benteng pertahanan terakhir dalam memastikan kelangsungan riwayat nilai demokrasi.Kewibawaan yang ditunjukkan oleh Edward Murrow menerusi filem ini bukan merujuk kepada kejayaan beliau dalam membuktikan salahlaku Senator McCarthy dan membawa isu penindasan ini ke atas meja perbincaraan, tetapi keberanian dan keazaman yang mendorong Murrow melaporkan berita eksklusif ini meskipun menghadapi pelbagai rintangan daripada pihak luar.Kepercayaan teguh Murrow terhadap kebebasan laporan berita dan keazaman beliau untuk memberikan keprihatinan terhadap golongan terpinggir menerusi paparan televisyen disertai keberanian beliau dalam merealisasikan impian sendiri sememangnya adalah mesej utama yang ingin dicerminkan melalui filem “Good Night & Good Luck”.Keupayaan beliau dalam membebaskan diri daripada kongkongan realiti dan meneruskan perjuangan ke atas kebebasan media seharusnya diberikan penghormatan dan disanjung tinggi memandangkan nafas baru dalam arena berita televisyen perlu dibawa masuk oleh seseorang yang memiliki keberanian dan kesungguhan demi kesejahteraan bersama. Namun, adakah semua wartawan mempunyai keazaman ataupun keyakinan yang sama dengan Murrow? Adakah mereka berupaya menjauhkan diri daripada terpengaruh dengan kemewahan dan kekuasaan apabila keseluruhan industri media semakin cenderung ke arah komersialisasi serta hiburan? Dan adakah pekerja-pekerja media kini memahami makna sebenar nilai demokrasi serta rela berkorban untuknya? Soalan-soalan di atas sudah cukup untuk memberi gambaran kepada anda bahawa realiti lazimnya adalah bertentangan dengan keadilan dunia dan keperibadian-keperibadian yang kita perlukan dalam diri seseorang pekerja media semakin hari semakin luntur akibat peredaran masa walaupun masyarakat memerlukan mereka untuk membawa perubahan. Justeru itu, adalah wajar Edward Murrow sebagai seorang idealis yang mempunyai pegangan teguh dihormati dan disanjung tinggi sepanjang masa. Bagaimanapun, perlu kita ingat juga bahawa suasana kebebasan media di Amerika Syarikat adalah berbeza daripada apa yang terdapat di Malaysia. Keupayaan Murrow dalam melaporkan isu-isu kontroversi menerusi saluran televisyen dan kejayaan laporan peristiwa “Watergate” telah membuktikan bahawa meskipun wujudnya kongkongan-kongkongan tertentu dalam industri berita Amerika Syarikat, namun sekurang-kurangnya sesuatu insiden itu akan diberikan peluang dan ruangan untuk dipaparkan terlebih dahulu sebelum dibincang, disiasat dan disahkan kebenarannya demi kepentingan bersama. Di negara kita pula, para wartawan bukan sahaja dipantau dan dikawal ketika penulisan berita dijalankan, akta-akta seperti Akta Rahsia Rasmi 1972 telah digubal khas untuk menafikan hak wartawan ataupun institusi media dalam mendapatkan bukti-bukti dakwaan yang dianggap sebagai dokumen-dokumen sulit kerajaan meskipun penyelewengan sememangnya berlaku. Oleh itu, seruan kerajaan supaya kebebasan dan keselamatan wartawan media perlu diberikan jaminan ketika pilihan raya Permatang Pauh dijalankan hanyalah janjian politik sahaja memandangkan sekatan perundangan selama ini telah mengakibatkan wartawan tempatan kehilangan ruangan kebebasan untuk memaparkan kebenaran di hadapan mata para pembaca mahupun penonton dan lazimnya mereka terpaksa akur dengan realiti industri media Malaysia meskipun ia bertentangan dengan nilai kepercayaan kerjaya mereka.
Setelah banyak berbincang mengenai isu-isu yang ditimbulkan melalui filem “Good Night & Good Luck”, kini kita kembali kepada persoalan utama dalam penulisan saya iaitu adakah teknologi komunikasi merupakan satu keperluan dalam memantapkan lagi pemahaman lapisan masyarakat ke atas nilai demokrasi dan adakah ia berkesan dalam mencapai matlamat ini? Secara jujurnya, saya tidak dapat menafikan peranan yang dimainkan oleh teknologi komunikasi dalam meningkatkan tahap pengaksesan masyarakat umum ke atas informasi-informasi semasa khususnya pada zaman 1950-an di mana televisyen masih lagi dianggap sebagai ciptaan baru dan memiliki litupan penyebaran yang luas tetapi adakah dengan kelebihan pengaksesan ini sahaja dunia telah memasuki era yang demokrasi ataupun bebas secara sepenuhnya? Jangan kita abaikan bahawa isi kandungan yang dipaparkan menerusi teknologi komunikasi mempunyai pengaruh yang lebih mendalam ke atas kesedaran demokrasi masyarakat dan jikalau agenda-agenda yang disiarkan telah diubahsuai ataupun ditapis untuk memenuhi kepentingan pihak pemilik, adakah demokrasi yang diperlihatkan bernilai dan bermakna meskipun tahap pengaksesan ke atas maklumat adalah tinggi? Justeru itu, saya yakin dengan pendapat diri bahawa teknologi komunikasi bukanlah satu kemestian dalam memantapkan nilai demokrasi, sebaliknya pemangkin kepada penyebaran nilai ini memandangkan pemahaman dan penghayatan sebenar ke atas makna demokrasi adalah tertakluk kepada tahap kesedaran setiap individu dalam sesebuah masyarakat dengan berlandaskan ilmu dan pengalaman hidup yang sedia ada.Hal ini bermakna kesemua lapisan masyarakat perlu mempunyai persefahaman yang selaras terhadap nilai demokrasi terlebih dahulu sebelum teknologi komunikasi boleh diaplikasikan ke atas diri mereka bagi membentuk persekitaran media dan suasana hidup yang bebas serta seimbang. Oleh yang demikian, sistem kemasyarakatan dan gaya pemikiran yang sedia ada perlu diubahsuai agar penyelamian yang lebih mendalam ke atas nilai demokrasi berupaya dicapai. Dalam erti kata lain, keluasan litupan penyebaran maklumat menerusi kecanggihan teknologi maklumat tidak dapat dijadikan petunjuk kematangan nilai demokrasi jika masyarakat gagal untuk memahami makna di sebaliknya.
Kesimpulannya, teknologi komunikasi tidak akan berjiwa bebas secara sendiri dan ia bergantung kepada kesedaran masyarakat untuk mengurniakan riwayat demokrasi ke atasnya.Kita sebagai pihak pengguna sememangnya mempunyai tanggungjawab untuk memastikan matlamat ini tercapai demi kesejahteraan bersama.Jikalau tidak, teknologi komunikasi khususnya televisyen dalam konteks filem “Good Night & Good Luck” hanyalah peti segi empat yang dipenuhi wayar dan ilusi cahaya sahaja.Sebelum mengundur diri, izinkan saya untuk memperkenalkan satu lagi filem yang turut memperlihatkan isu kebebasan media iaitu “Up Close & Personal” lakonan Robert Redford dan Michelle Pheifer yang diterbitkan pada tahun 1997 dengan harapan kita dapat menghayati kedua-dua filem ini bersama-sama satu hari nanti.
Sekian, “Good Night & Good Luck”.


Chang Swee Liang
11hb September 2008

Tuesday, September 9, 2008

Video Game dalam Demokrasi

Perkembangan permainan video dari hari ke hari semakin berkembang.Perkembangan permainan video ini sejajar dengan perkembangan teknologi yang semakin menguasai dunia pada hari ini.Namun begitu perkembangan yang pesat dalamteknologi permainan video ini ini telah melalaikan pengguna dalam mengetahui isu-isu semasa dalam negara dan luar negara.Hal ini kerana pengguna lebih berminat kepada permainan video ini dari mengambil tahu mengenai isu-isu semasa.Selain itu juga ianya memberi kesan kepada proses demokrasi apabila mereka menggunakan permainan video sebagai sebuah medium untuk melepaskan perasaan atau rasa tidak puas hati mereka.Hal ini juga telah menyebabkan mereka tidak menggunakan proses demokrasi seperti membuat perbincangan untuk menyalurkan suara hati mereka.
Keadaan ini bukanlah suatu keadaan yang sihat dalam melaksanakan proses demokrasi.Sebagai contohnya,terdapat permainan video iaitu Death or A Life(DOA) yang memaparkan keganasan yang ekstrim semata-mata yang boleh memberikan kesan negative kepada keadaan mental dan fizikal penggunannya. Selain itu juga terdapat sesetengah permainan video yang menggunakan watak pemimpin seperti Bush dan Osama Laden yang boleh memberikan imej yang negatif.Sebagai contohnya watak positif kepada Bush manakala watak negative untuk Osama Laden.Hal ini sekaligus telah memberikan kesan kepada pemikiran pengguna terhadap islam.Hal ini telah menyebabkan sekali lagi proses demokrasi ditolak dan tidak diterima.
Selain itu juga kemodenan teknologi telah menyebabkan lagu kebangsaan Malaysia iaitu Negaraku telah diubah musiknya dek kerana demokrasi.Mereka menggunakan perkataan demokrasi untuk meluahkan perasaan mereka terkhadap lagu.Namun keghairahan bdalam melakukan perubahan terhadap lag kebangsaan di bawah demokrasi telah mengundang kemarahan rakyat Malaysia.Rakyat Malaysia menggangap lagu tersebut telah menjatuhkan maruah dan sekaligus telah mengnina lagu kebangsaa sendiri.Hal ini telah menunjukkan kemudahan tekologi telah disalahgunakan dibawah konteks demokrasi.
Selain itu juga,melalui industri perfileman pula dibawah konteks demokrasi juga digunakan sebaga sebuah medium untuk meluahkan rasa tidak puas hati mereka dan mereka bebas untuk melakukan apa sahaja.Kebebasan dalam berkarya ini telah menjadikan sesetengah pihak mengambil kesempatan terhadap kebebasan yangdiberi.Hal ini telah mennyebabkan para penonton akan mudah terpengaruhdengan perkara-perkara yang negative dan ini akan mudah tersebar.Semua ini adalah dibawah tiket demokrasi.